KANGAR 23 Jan. - Golongan wanita digalakkan menjalani latihan mengendalikan jentera berat bagi menampung kekurangan tenaga dalam sektor pembinaan dan industri di negara ini.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sewajarnya golongan wanita yang menganggur mengambil peluang tersebut untuk memajukan diri dan keluarga.
Katanya, melalui penggunaan sumber tenaga yang optimum, negara akan lebih beruntung kerana mempunyai rakyat yang mempunyai pelbagai kemahiran.
''Di negara Barat, golongan wanita telah menyertai dan memecahkan monopoli pekerjaan yang selama ini dikuasai kaum lelaki, termasuk bekerja sebagai pemandu kenderaan berat, pemandu bas dan jentera berat lain.
''Negara tidak akan rugi jika wanita mempunyai kemahiran sebegini, sebaliknya ia sangat berguna kerana saiz pergantungan terhadap tenaga kerja asing dapat dikurangkan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan program "Bekal Kemahiran" yang dianjurkan bersama kerajaan Perlis, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Arau di Kampung Surau, semalam.
Shahidan berkata, beliau yakin golongan wanita terutama di Perlis dapat menyahut cabaran tersebut.
''Kita akan mengumpul golongan wanita yang layak dan berminat di Perlis untuk mengendalikan jentera berat dan jika mereka telah mahir, baru mereka berpeluang menyertai sektor industri dan binaan.
''Saya juga telah mencadangkan kepada ABM mengembangkan kegiatannya hingga ke pusat serenti untuk memberi peluang kepada para pelatih di situ, dalam pelbagai bidang sebelum mereka dibebaskan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Hamzah Hasan berkata, beliau menyambut baik cadangan Menteri Besar Perlis itu dan ia satu langkah yang bijak untuk menjadikan negara mempunyai tenaga mahir daripada kalangan lelaki dan wanita.
Petikan dari UTUSAN Malaysia (24.01.08)
Maklumat Tambahan: ILJTM yang menawarkan kursus Jentera Berat adalah di ILP Jitra
& ILP Kota Bharu dan ILP Sandakan (dalam perancangan)