Tajuk/isu |
TVET: Usaha tingkatkan kemahiran Orang Asli |
Sumber berita | https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/11/624290/tvet-usaha-tingkatkan-kemahiran-orang-asli |
Tarikh | 2 November 2019 |
CAMERON HIGHLANDS: Kementerian Sumber Manusia bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan melaksanakan program kesedaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli mengenai bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara intensif.
Program kendalian Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) itu akan diadakan selama dua hingga tiga bulan dan berpusat di Brinchang, di sini yang akan bermula dalam masa terdekat.
Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan hari ini, berkata pelaksanaan inisiatif itu akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat Orang Asli mengenai peluang latihan dalam bidang kemahiran sama ada secara sepenuh masa atau melalui kursus jangka pendek di samping menerapkan aspek keusahawanan.
“Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, hari ini mempengerusikan mesyuarat di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, bagi membincangkan beberapa strategi berkesan dalam usaha menggalakkan penyertaan masyarakat Orang Asli khususnya belia agar menyertai bidang TVET terutamanya melalui Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).
“Mesyuarat yang turut membabitkan wakil NGO ini diadakan selaras dengan intipati Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu menyediakan taraf hidup yang wajar kepada rakyat negara ini menjelang tahun 2030 bagi menangani jurang kekayaan dan pendapatan di mana tidak ada golongan yang akan terpinggir atas faktor bangsa dan agama,” katanya.
Katanya, sehingga kini, seramai tujuh belia Orang Asli sedang menjalani latihan kemahiran di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, Perak, dan pihak kementerian juga sangat komited dalam menambah angka itu.
“Usaha dilakukan bagi menyedarkan masyarakat Orang Asli mengenai kelebihan yang bakal diperoleh apabila menceburi bidang kemahiran dan menjadikan ia sebagai batu loncatan dalam membina karier menguntungkan sekali gus mampu menyumbang dalam merealisasikan WKB,” katanya.